Wartawan NSTP


PEMANGKU Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau tiba di kediaman Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Bukit Padang, Kota Kinabalu, 11.35 pagi tadi.

Beliau yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditemani Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin.

Kedua-dua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu kemudian mengadakan perbincangan dengan Mohd Shafie.

Ia sekali gus menimbulkan spekulasi berhubung tujuan mereka mengadakan kunjungan itu, termasuk kemungkinan parti berkenaan bekerjasama dengan pakatan WARISAN, PKR dan DAP.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UPKO memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah serta satu kerusi Parlimen.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima kunjungan daripada Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin di kediamannya, Bukit Padang. FOTO Khairull Azry Bidin
Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima kunjungan daripada Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin di kediamannya, Bukit Padang. FOTO Khairull Azry Bidin

Pembentukan kerajaan baharu Sabah genting apabila parti komponen BN dan pakatan WARISAN bersama DAP dan PKR masing-masing terikat 29 kerusi.

Baki dua daripada 60 kerusi DUN lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun setakat ini parti itu belum menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Pagi tadi, Mohd Shafie tiba di pekarangan Istana Negeri di sini, dipercayai bagi mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie yang menaiki Toyota Land Cruiser berwarna hitam tiba pada 10.10 pagi, namun tidak dibenarkan masuk ke laluan menuju ke istana oleh polis yang mengawal laluan terbabit diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 12:16 PM