BADROL Hisham (dua dari kiri) menyampaikan piala kejohanan kepada Ketua BBP Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi yang menjuarai pertandingan tarik tali peringkat balai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
BADROL Hisham (dua dari kiri) menyampaikan piala kejohanan kepada Ketua BBP Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi yang menjuarai pertandingan tarik tali peringkat balai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 567 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan terbabit dalam proses pengundian pos, Sabtu ini.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda, berkata, pengundian pos bagi anggota dan pegawai di 17 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri itu hanya membabitkan kakitangan yang bertugas di bahagian operasi dan mengikut syif.

Beliau berkata, bagi pegawai dan anggota yang bekerja mengikut waktu pejabat, mereka akan mengundi seperti biasa pada 9 Mei ini.

“Proses mengundi pos itu akan dijalankan di BBP Alor Setar, Sungai Petani, Kuala Nerang, Yan, Langkawi, Persiaran Putra, Guar Chempedak, Sik, Baling, Serdang, Kulim, Kulim Hi-Tech, Jalan Raja, Jitra, Bukit Kayu Hitam dan Amanjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Kedah di BBP Kuala Nerang di Kuala Nerang, hari ini.

Pada majlis itu, anggota dan pegawai dari semua balai turut terbabit dalam Pertandingan Tarik Tali, Fire Fighter Challenge, Pertandingan Kawad Kawad Operasi Basah, Pertandingan Kawad Operasi Kering dan Pertandingan Memadam Api Terpantas.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Abdul Razak berkata, ini adalah kali pertama anggota bomba melakukan pengundian pos kerana kebanyakan mereka bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Sementara itu, Badrol Hisham yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang mencadangkan pihak kementerian supaya pasukan Taktikal Khas dan Penyelamat (STORM) diberi elaun khas setanding pasukan khas tentera seperti komando dan VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan tugas pasukan STORM menjalani kursus mencabar di tasik, hutan dan paya untuk latihan bagi memantapkan lagi tugas mereka.

“Setakat ini JBPM Kedah mempunyai 21 anggota STORM dan jumlah itu dijangka bertambah untuk mencukupkan 30 anggota di setiap negeri di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Badrol Hisham berkata pasukan ‘task force’ membabitkan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ditubuhkan untuk PRU-14 ini membuat pemantauan 24 jam di seluruh kawasan mengundi untuk memastikan suasana kempen berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:58 PM