Norul Awatif Romli

Alor Setar: Remaja lelaki 18 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di kawasan rekreasi di Pengkalan Tok Mas, Jalan Pedu, Kuala Nerang, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman, berkata kejadian dipercayai pada 4.20 petang.

Katanya, mangsa Mohd Firdaus Abu Bakar dipercayai sedang mandi di kawasan itu sebelum dihanyutkan arus deras.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada 5.15 petang.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.20 petang. Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dan lima anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani, ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari membabitkan pencarian dasar sungai di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Katanya, operasi SAR turut membabitkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan aset Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:23 PM