Zuliaty Zulkiffli 28/12/2018


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bercadang menamakan dewan baharu di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Jalan Suka Menanti, di Kuala Nerang, dengan nama Dewan Muhammad Adib.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, perkara itu dicadangkan ketika dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Beliau berkata, pemilihan nama dewan itu adalah sebagai penghargaan dan menghargai jasa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia, 17 Disember lalu.

“Selain itu, semua 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini sedang membuat kutipan untuk Tabung Muhammad Adib yang turut dibuka kepada orang ramai.

“Kita akan serahkan semua kutipan dari tabung itu ke Ibu Pejabat JBPM Putrajaya selepas kutipan selesai untuk diserahkan kepada keluarga arwah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Tahlil di BBP Kuala Nerang, malam tadi.

Terdahulu, anggota dan pegawai kanan JBPM Kedah mengadakan majlis bacaan Yasin untuk Muhammad Adib dan anggota balai itu yang meninggal dunia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nazri berkata, pihak JBPM Kedah bersedia untuk membantu keluarga Muhamad Adib pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai cadangan untuk menamakan Dewan Muhammad Adib kepada bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid.

“Bapa arwah bersetuju dengan cadangan itu dan pihak JBPM Kedah akan menghantar surat rasmi kepada keluarga mereka nanti,” katanya.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 1:14 PM