Rumah di Kampung Baru, Padang Sanai yang terbakar petang tadi-FOTO ihsan Bomba
Rumah di Kampung Baru, Padang Sanai yang terbakar petang tadi-FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: Sebuah rumah di Kampung Baru, Padang Sanai, di sini, terbakar malam tadi.

Kebakaran yang berlaku pada 7.35 malam itu memusnahkan 80 peratus struktur rumah berkenaan namun penghuninya berjaya menyelamatkan diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafizie Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.47 malam dan jentera pertama dari BBP Kuala Nerang tiba pada jam 8.03 malam.

Beliau berkata, pihaknya turut dibantu sebuah jentera dan Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dari BBP Jitra membabitkan keseluruhan pegawai serta anggota yang terbabit dalam operasi itu seramai 14 orang.

"Kita turut dibantu 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya dan Pokok Sena.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah rumah terbakar dan anggota kami menggunakan satu aliran dua pancutan dari jentera BBP Kuala Nerang untuk mengawal kebakaran.

"Api berjaya dikawal jam 8.30 malam dan setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan malah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya.

Mohd Hafizie berkata, pihaknya menyerahkan siasatan dijalankan oleh Bahagian Forensik JBPM Kedah esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:10 PM