MOHD Fadzil (tiga kiri) bersama ahli anggota melihat buku laporan tahunan Koperasi NSTP 2017 pada Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi NSTP (M) Berhad ke-50 di Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
MOHD Fadzil (tiga kiri) bersama ahli anggota melihat buku laporan tahunan Koperasi NSTP 2017 pada Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi NSTP (M) Berhad ke-50 di Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KOPERASI The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lapan peratus hasil pendapatan RM2.7 juta, bagi tahun kewangan 2017.

Pengerusinya, Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, ia meningkat berbanding lima peratus bagi tahun kewangan 2016.

Katanya, semua 2,600 ahlinya akan menerima pembayaran dividen berkenaan sebelum Aidilfitri pada Jun depan.

Beliau berkata, jumlah pendapatan koperasi dilihat mengalami sedikit penurunan berbanding RM2.87 juta pada 2016, berikutan ada ahlinya yang sudah berhenti dan meletakkan jawatan.

“Kita mengumumkan pembayaran dividen dalam mesyuarat agung tahunan hari ini kepada ahli yang terdiri daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB), NSTP, bekas kakitangan MPB serta syarikat yang pernah bernaung di bawah NSTP.

“Ia akan diagihkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum sambutan Aidilfitri. Pada tahun lalu, kita mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Perwakilan Koperasi NSTP, di Kuantan.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan kedua perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Bandar Seri Putra di Bangi, Selangor pada Julai depan.

“Kita sudah mempunyai cawangan Ar-Rahnu di Bandar Sunway dan sambutan yang diterima amat menggalakkan, justeru kita merancang membuka cawangan kedua selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Selain itu juga kita turut merancang menceburi bidang hartanah dengan mewujudkan rumah mampu milik untuk ahli koperasi dan perbincangan sudah dilakukan oleh pihak berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 8:40 PM