Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Rakyat Management Services Sdn Bhd (RManagement), francaisor bagi pajak gadai Islam, Ar-Rahnu X’Change berhasrat untuk memberi lebih tumpuan pembukaan cawangan baru di kawasan Sabah dan Sarawak bermula tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada pemain sektor koperasi tempatan menyertai perniagaan francais miliknya.

Ketika ini, syarikat milik penuh Bank Rakyat mempunyai 94 cawangan Ar-Rahnu X’Change yang mana 52 milik francaisi dan 42 diuruskan oleh RMS.

Pengurus Besar RManagement, Dr Mokhrazinim Mokhtar berkata, perniagaan francais yang ditawarkannya hanya terbuka kepada koperasi saja dan pada masa ini tidak bercadang untuk memberi peluang kepada orang perseorangan atau syarikat untuk menjalankan perniagaan berkenaan.

Beliau berkata, peluang perniagaan itu yang hanya terbuka kepada koperasi adalah sejajar dengan matlamat bank berkenaan bagi membangunkan sektor koperasi negara yang dikenal pasti sebagai salah satu entiti membantu menggalakkan ekonomi negara.

“Setiap tahun, kami akan membuka lima cawangan baru Ar-Rahnu X’Change dan setiap bulan RManagement menerima banyak pertanyaan daripada koperasi untuk menyertai perniagaan pajak gadai ini memandangkan ia mempunyai potensi besar dalam menjana keuntungan.

“Walau bagaimanapun, potensi untuk menjana keuntungannya tidak datang dengan begitu cepat kerana secara purata, bagi setiap cawangan akan menerima pulangan modal (ROI) antara setahun hingga setahun setengah bergantung kepada lokasi,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

RManagement juga terbabit di dalam perniagaan perdagangan emas antaranya barang kemas dan bar emas sebagai antara aktiviti perniagaannya yang lain. Selain itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan kepingan emas kecil yang mampu dimiliki, Wafer RMS Gold untuk tujuan pelaburan yang dijual pada harga lebih berpatutan daripada pemain industri lain.

Mokhrazinim berkata, antara keunikkan Ar-Rahnu X’Change ialah pihak koperasi yang menjalankan perniagaan berkenaan akan dipantau secara terus daripada pihaknya dari segi transaksi penjualan dan membuat audit ke atas barangan kemas yang diterima francaisinya bagi memastikan keselamatan aset itu terjamin.

“Bagi membuka satu cawangan Ar-Rahnu X’Change, pihak koperasi memerlukan modal kasar RM500,000 iaitu kos bagi membeli perisian, premis, tenaga kerja yang disediakan Bank Rakyat, yuran francais dan latihan.

“Manakala, bagi modal untuk pulangan pajakan kita akan memberi mereka bantuan pembiayaan RM3.5 juta kerana kita tahu untuk perkara ini ia memerlukan modal yang besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 6:43 AM