(DUDUK dari kiri) Setiausaha Koop NSTP, Zulfakar Wahib; Penolong Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutua; Shahrul Aidil Mohamad Tajudin dan Pengerusi Koperasi NSTP, Mohd Fadzil bersama Perwakilan Koop NSTP di Mesyuarat Agung Perwakilan ke-52 di Port Dickson, semalam.
(DUDUK dari kiri) Setiausaha Koop NSTP, Zulfakar Wahib; Penolong Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutua; Shahrul Aidil Mohamad Tajudin dan Pengerusi Koperasi NSTP, Mohd Fadzil bersama Perwakilan Koop NSTP di Mesyuarat Agung Perwakilan ke-52 di Port Dickson, semalam.
Wartawan Harian Metro


KOPERASI The New Straits Times Press (M) Bhd (Koop NSTP) menyahut cabaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam meneroka bidang perniagaan berskala besar dan menjanjikan keuntungan lebih tinggi pada masa hadapan.

Pengerusinya, Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, pihaknya menyedari Koop NSTP tidak lagi boleh bergantung pada pemberian pinjaman kepada anggota koperasi sebagai teras utama perniagaan koperasi itu.

"Apabila kita kehilangan ramai anggota berikutan rasionalisasi dijalankan Media Prima Berhad (MPB) sebelum ini, kita turut kehilangan pendapatan daripada faedah pinjaman wang dijalankan.

"Berikutan itu, kita menyedari Koop NSTP tidak boleh bergantung kepada pemberian pinjaman kepada anggota semata-mata, sebaliknya meneroka peluang dalam bidang perniagaan berskala besar," katanya selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Koop NSTP ke-52, di Port Dickson, semalam.

Sebelum itu, Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan, Amran Abdul Kadir menggesa Koop NSTP beralih arah dengan meneroka peluang perniagaan lebih besar.

Amran berkata, kehilangan ramai anggota akibat rasionalisasi dijalankan MPB bukan butang panik untuk Koop NSTP.

"Koperasi NSTP kena mencari aktiviti perniagaan jangka panjang dengan keuntungan tinggi tanpa bergantung kepada bilangan ahli yang tinggal," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Fadzil mengumumkan pemberian dividen sebanyak 1.8 peratus berjumlah RM316,083 bagi 2019.

Selain pemberian pinjaman kepada ahlinya, Koop NSTP terbabit dalam pelancongan, arRahnu, hartanah, insurans dan runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 4:58 PM