ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa lemas di dasar air terjun tangki air Jalan Sungai Tua-Hulu Yam, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa lemas di dasar air terjun tangki air Jalan Sungai Tua-Hulu Yam, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim


KEGEMBIRAAN dua rakan karib mandi di kawasan air terjun tangki air Jalan Sungai Tua-Hulu Yam, Kuala Kubu Bharu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, 11.40 pagi hari ini.

Mangsa, Raja Muhammad Syafieq Raja Ahmad Azanae, 16, datang bersama rakannya ke kawasan perkelahan itu sebelum dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, saksi memaklumkan mangsa tergelincir dan hilang di kawasan air terjun terbabit.

“Hasil bantuan bomba, mayat mangsa ditemui di dasar kolam air terjun itu pada 1 tengah hari.

“Mangsa yang berasal dari Rasa, datang ke air terjun itu bersama rakannya untuk mandi,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama 12 anggota dan empat jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba melakukan pencarian di dasar sungai.

“Kami mengambil masa hampir satu jam sebelum menemui mayat mangsa berhampiran lokasi terakhir dia dilihat.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 6:09 PM