GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


REMAJA lelaki berusia 18 tahun lemas selepas tergelincir ketika mandi bersama rakan-rakannya di air terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.03 tengah hari berhubung kejadian.

Menurutnya, seramai 15 anggota termasuk jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu diketuai Komander Operasi Kamil Hamadan dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba anggota bomba mendapati seorang remaja lelaki lemas akibat tergelincir dari batu di air terjun berkenaan ketika mandi bersama rakan lain.

“Mayat mangsa berjaya dijumpai berhampiran lokasi dia terjatuh pada 1.48 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:04 PM