ANGGOTA bomba menaikkan mayat pemuda yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Sungai Pertak. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menaikkan mayat pemuda yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Sungai Pertak. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kegembiraan empat lelaki mandi-manda di Air Terjun Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.45 petang.

Beliau berkata, sepasukan sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu diketuai Komander Operasi Kanan, Kamil Hamadan dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun lemas ketika mandi di air terjun bersama tiga rakannya.

"Pencarian secara 'water surface' kemudian dilakukan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, pada 5.04 petang mangsa, Muhammad Amir Wafiq ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 7:41 PM