Empat wanita yang diselamatkan selepas menjadi mangsa pemerdagangan orang di Labuan.
Empat wanita yang diselamatkan selepas menjadi mangsa pemerdagangan orang di Labuan.
Juwan Riduan


Labuan: Polis Labuan menyelamatkan empat wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam dua siri operasi berasingan, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Tiga mangsa diselamatkan dalam serbuan di sebuah hotel di sini, manakala seorang lagi mangsa diselamatkan di Penampang.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, bertindak dengan maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan membuat serbuan di sebuah hotel pada 26 April lalu.

"Seramai tiga wanita warga Filipina dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan.

"Hasil daripada penyelamatan tiga mangsa di Labuan itu, seorang lagi mangsa yang melarikan diri ke Penampang turut berjaya diselamatkan dengan bantuan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada 27 April," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hamizi berkata, hasil Op Pintas ini berjaya menyelamatkan keseluruhan empat wanita warga Filipina berusia 31 hingga 33 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.

"Semua mangsa dipaksa bekerja sebagai pelayan di sebuah premis hiburan dalam kawasan bandar Labuan.

"Susulan daripada penyelamatan semua mangsa yang terbabit, dua suspek wanita iaitu seorang warga tempatan berusia 36 tahun dan seorang lagi warga Filipina berusia 22 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes," katanya.

Menurutnya, dua suspek wanita yang ditahan akan direman selama tujuh hari sehingga 4 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

"Pihak polis menasihatkan masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah mahupun aktiviti pemerdagangan orang kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 11:52 AM