ANGGOTA bomba membawa naik mayat lelaki berusia 19 tahun yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Lata Medang, Kuala Kubu Bharu. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa naik mayat lelaki berusia 19 tahun yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Lata Medang, Kuala Kubu Bharu. FOTO Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Kegembiraan empat lelaki mandi-manda di Air Terjun Lata Medang, Kuala Kubu Bharu, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.26 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga rakannya.

"Anggota bertugas kemudian bertindak mencari dan menyelamat mangsa menerusi kaedah 'surface water rescue'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, mayat lelaki itu ditemui jam 4.04 petang.

"Mangsa dikenali sebagai Muhammad Solihin Khairul Hisham disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 5:39 PM