ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa lemas di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa lemas di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Fazrik Kamarudin


TIGA lelaki termasuk dua beradik ditemui lemas ketika berkelah di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Semua mayat mangsa berusia 20-an ditemui pada 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, mangsa B Peacaiswaran, 25, adiknya, Nagulan, 20 dan rakan mereka G Ganesan, 23.

“Mangsa bersama tiga lagi rakan tiba dari Pandamaran, Klang untuk berkelah di kawasan sungai terbabit.

“Bagaimanapun, Peacaiswaran tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke dalam kolam air terjun.

“Apabila menyedari abangnya terjatuh, Nagulan dan Ganesan cuba menyelamatkannya, namun gagal muncul semula dan mereka dipercayai turut lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, rakan mangsa kemudian memaklumkan kepada polis mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, anggota bomba menemui ketiga-tiga mangsa di dasar kolam dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

Katanya, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada 12.55 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:54 PM