ZAMBRY (kiri) berbual dengan Sister Sabria selepas program di Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
ZAMBRY (kiri) berbual dengan Sister Sabria selepas program di Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
Shaarani Ismail


“SIFAT pemurah ibu yang gemar memberi makan kepada golongan memerlukan menjadi inspirasi untuk saya teruskan kerja amal memberi makan kepada insan memerlukan,” kata Sabariah Hussein atau lebih senang dipanggil Sister Sabria, 70.

Anak kelahiran Johor yang sudah 30 tahun bermastautin di Montreal, Kanada, itu turut dikenali sebagai ‘Muslim Mother Theresa’ dalam kalangan rakyat Kanada kerana kesungguhan dan sifat murah hatinya memberikan makanan dan menyediakan tempat perlindungan kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama di Montreal.

Beliau berkongsi pengalaman dan kisah hidupnya ketika dijemput khas pada Bicara Eksekutif Bersama Sister Sabria: Belas Ihsan Tanpa Sempadan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Menceritakan pengalamannya dan bagaimana beliau akhirnya boleh menjadikan kerja amal itu sebagai pekerjaan sepenuh masa dalam membantu golongan memerlukan, Sister Sabria berkata, semuanya atas inspirasi dan sifat pemurah ibunya yang selalu memasak untuk golongan kurang berkemampuan.

“Ketika kecil saya ada bertanya kepada ibu, mengapa perlu memberi makan kepada orang susah, ibu dengan tenang menjawab, tidak rugi kita bersedekah kerana kita ada, tetapi mereka tidak ada, mungkin wang yang ada pada mereka untuk kegunaan lain, tetapi kita masih cukup makan dan pakai.

“Perkara itu akhirnya menjadikan saya terus berpegang bahawa pasti ada ganjaran daripada Allah SWT jika kita berbuat baik dan membantu yang memerlukan dengan memberikan makanan.

“Saya tidak kaya, tetapi tidak miskin dan saya cukup seadanya dan ia sudah memadai buat saya dan saya akan terus melakukan kerja amal ini selagi mampu,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Sepanjang 30 tahun menetap di Montreal, Sister Sabria menjalankan pelbagai aktiviti kemanusiaan termasuk menyediakan keperluan makanan melalui program bank makanan dan ‘dapur sup’ apabila program tetapnya adalah memasak untuk lima masjid di sekitar Montreal serta beberapa gereja berdekatan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dengan bantuan ratusan sukarelawan.

Berikutan kerja amalnya yang mendapat perhatian masyarakat Kanada, beliau dianugerahkan Anugerah Inspiratif Wanita 2015 daripada Majlis Wanita Islam Kanada kerana tujuan kerja amal dilakukan adalah untuk memberikan imej positif Islam dalam kalangan masyarakat Kanada.

“Kepada generasi muda, mereka perlu tahu apa masa depan mereka dan apa akan dirancang, untuk melakukan kerja amal mereka perlu fokus tidak kira di mana ia dilakukan.

“Bagi yang bekerja, kerja amal ini perlu datang dengan minat dan secara sendiri bukan dipaksa dan paling penting segala khidmat ini perlulah niat kerana Allah SWT...jangan fikirkan bayaran kerana ia adalah kerja sukarela,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Zambry berkata, golongan muda perlu mencontohi sikap dan semangat ditunjukkan Sister Sabria dalam membantu golongan memerlukan tanpa mengira batasan agama.

“Sister Sabria adalah nama cukup besar di Kanada dan sangat dikenali kerana kerja amal dan sukarelanya membantu dalam aktiviti kemasyarakatan melalui makanan percuma kepada yang memerlukan.

“Apa yang dilaksanakan Sister Sabria perlu menjadi contoh dan perlu diberikan sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:02 AM