KELIHATAN orang miskin meminta sedekah di Bazar Ramadan. FOTO Genes Gulitah
KELIHATAN orang miskin meminta sedekah di Bazar Ramadan. FOTO Genes Gulitah
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Golongan pengemis warga asing dilihat semakin 'berani' menjalankan aktiviti meminta sedekah di lokasi tumpuan ramai ketika ini seperti di bazar Ramadan sekitar ibu kota berikutan sifat pemurah rakyat Malaysia.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Johari berkata, isu peminta sedekah warga asing ini sudah berlarutan dan semakin aktif terutama ketika Ramadan.

"Selalunya, pengemis ini hanya menjual tisu atau makanan ketika meminta sedekah tetapi pada bulan Ramadan mereka cenderung untuk meminta wang.

"Keuntungan diperoleh juga berlipat ganda berbanding bulan biasa kerana mereka bijak mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah rakyat Malaysia," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berharap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan dalam usaha menangani isu peminta sedekah warga asing ini.

"Tindakan tegas perlu diambil seperti menangkap dan menghantar pengemis terbabit ke negara asal," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata, pihaknya mendapati peminta sedekah warga asing ini bebas menjalankan aktiviti sehingga mencacatkan suasana persekitaran.

"Kebanyakan mereka ini datang dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Myanmar.

"PPMM menyeru masyarakat supaya menggunakan saluran betul untuk memberi bantuan kepada golongan asnaf melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS), sebagai contoh.

"Setiap sumbangan akan direkod, diberi penyata dan boleh digunapakai untuk kegunaan pelepasan cukai," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan mendapati sekurang-kurangnya 10 pengemis dipercayai warga asing berkeliaran di bazar Ramadan di sekitar Sungai Buloh bagi meraih simpati orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 4:11 PM