SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan DMIJ kepada Sabariah  pada majlis istiadat pengurniaan darjah di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. FOTO Ihsan Royal Press Office
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan DMIJ kepada Sabariah pada majlis istiadat pengurniaan darjah di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohd Fahmi Mohd Yusof


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini, menganugerahkan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada rakyat Johor yang menetap di Montreal, Kanada, Sabariah Hussein yang terkenal dengan kerja amal di negara itu.

Darjah yang membawa gelaran Datin Paduka itu disampaikan sendiri Sultan Ibrahim kepada Sabariah di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, hari ini.

Turut berangkat pada majlis istiadat pengurniaan darjah itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan suami kepada Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Dennis Muhammad Abdullah.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya, Sultan Ibrahim bertitah, baginda berbangga dan kagum dengan kerja amal dilakukan Sabariah yang juga anak kelahiran Johor.

"Beliau adalah contoh insan Islam berperibadi mulia yang dengan rela hati setiap hari memasak dan membantu menyediakan makanan untuk ratusan insan kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan tanpa mengambil kira (atau menyoal tentang) agama, bangsa atau latar belakang mereka.

"Usaha dan nilai murni ditunjukkan beliau patut disanjung dan diteladani," titah baginda.

Sabariah, 71, atau lebih mesra dengan panggilan Sister Sabria, adalah anak kelahiran Wadihana, di Johor Bahru, menjadi sukarelawan yang kini menetap di Kanada.

Beliau melakukan kerja amal membantu gelandangan dan mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun di Montreal, Kanada.

Sabariah juga menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan pusat perlindungan wanita "Our Second Home" dengan sebahagian besar dana diperoleh beliau daripada makanan dijual pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

Beliau menetap di Kanada selepas berkahwin dengan suaminya yang juga rakyat tempatan sejurus menamatkan pelajaran dalam bidang kulinari di Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah DMIJ yang membawa gelaran Datuk kepada Pegawai Kewangan Negeri Johor, A Rahim Nin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 9:47 PM