Hadzlihady Hassan


BEKAS pensyarah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Georgetown, hari ini terhadap dua pertuduhan kerana menipu pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan pekerjaan.

Tertuduh, N Thevananthan, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret L Umma Devi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu pihak pengurusan USM dengan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pensyarah pada 15 Ogos 2008.

Dia didakwa dengan curang mendorong USM menyerahkan bayaran berjumlah RM195, 081.38.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466/471 Kanun Keseksaan pada tarikh yang sama dengan menggunakan dokumen palsu iaitu sijil kelulusan doktor Philosophy in Education, University of Maryland, USA.

Umma Devi kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM17, 500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan.

Terdahulu, tertuduh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama peguamnya kira-kira 8 pagi sebelum dia ditahan dan dibawa ke mahkamah.

Thevananthan yang menetap di Bayan Lepas, dekat sini memohon jawatan sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang pada Ogos 2008 lalu dengan mengemukakan beberapa sijil Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Maryland USA serta beberapa sijil lain.

Dia kemudian diterima bekerja sebagai pensyarah, namun pada Jun 2011 pihak USM berjaya mengesan penipuan dilakukannya selepas mereka membuat pemeriksaan dengan University Of Maryland, USA dan mendapati sijil dikemukakannya adalah palsu.

Pihak USM kemudian meminta dia memberikan penjelasan berhubung hal berkenaan, namun Thevananthan menghantar notis 24 jam membuatkan pihak pengurusan melaporkan kes kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 3:57 PM
PEGAWAI polis mengiringi N. Thevananthan, 51, (kiri) ke Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan menggunakan sijil kelulusan palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan jawatan sebagai pensyarah di sebuah Universiti di Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
PEGAWAI polis mengiringi N. Thevananthan, 51, (kiri) ke Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan menggunakan sijil kelulusan palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan jawatan sebagai pensyarah di sebuah Universiti di Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar