Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Siti Sofia Md Nasir


DUA pekerja sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Georgetown hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu 9 Disember lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya membuat pengakuan berbeza apabila hanya tertuduh, Shamsuden Rahman Khan, 43, mengaku bersalah, manakala rakannya, Jamil Ahmad Mohd Adam, 40, pula mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu direkodkan selepas pertuduhan terhadap Shamsuden yang bekerja sebagai akauntan itu dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan, manakala Jamil Ahmad yang juga penyelia di hadapan Majistret L Umma Devi.

Mengikut pertuduhan, Jamil Ahmad dan Shamsuden yang juga warga India, didakwa memberikan maklumat kepada pegawai polis secara lisan iaitu percakapan mengikut kehendak Seksyen 112(iv) Kanun Tatacara bersangkut kes laporan polis yang diketahui adalah palsu.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Sungai Nibong, antara 3 petang pada 9 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Rosnee menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 kepada Shamsuden manakala Umma Devi membenarkan Jamil Ahmad diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Jamil Ahmad diwakili peguam Dr N Ahilan namun Shamsuden tidak diwakili peguam dan kes Jamil Ahmad akan disebut semula 17 Januari ini untuk serahan dokumen.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan S Preeya Darrsini.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua pekerja sebuah restoran nasi kandar sanggup mereka cerita kononnya disamun bagi menutup perbuatan mereka untuk melarikan wang hasil jualan restoran terbabit berjumlah RM122,555.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dilaporkan berkata, polis menerima maklumat daripada pekerja restoran itu yang mendakwa disamun ketika dalam perjalanan ke bank di Bukit Jambul untuk memasukkan wang kutipan hasil restoran.

Bagaimanapun hasil siasatan lanjut katanya, dua pekerja terbabit mengaku kejadian itu tidak berlaku dan cerita mereka disamun hanyalah rekaan semata-mata.

Berita berkaitan

Padah buat laporan palsu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 1:02 PM