Hadzlihady Hassan


LELAKI didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan, pada pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Moharizmi Azlie, 35, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret L Umma Devi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja membunuh Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, yang juga rakannya di kawasan menara jam Kompleks Bukit Jambul, Jalan Rumbia, Bayan Lepas, pada jam 11.36 malam, pada 15 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 11 November depan bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat serta dua laporan kimia.

Dalam kejadian itu, Mohamad Nurulhudin meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:00 PM
MOHARIZMI dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
MOHARIZMI dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal