PEGAWAI SPRM membawa tertuduh (kiri) ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Mikail Ong
PEGAWAI SPRM membawa tertuduh (kiri) ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


SEORANG pensyarah Universiti Sains Malaysia ( USM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya membekalkan pelbagai barangan di jabatan tempat dia bekerja.

Tertuduh, Badaruddin Mohamed, 53, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Bagi tujuh pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM untuk mendapatkan suapan bagi adiknya Mustafa Kamal dengan meluluskan syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd sebagai pembekal bagi kerja-kerja membekalkan pelbagai barangan dan cenderahati.

Ia termasuk ‘PA System’ dan ‘souvenier glass’ yang kesemuanya bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 23 September 2011 dan 23 November 2012.

Bagi dua pertuduhan lain, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster (STRC) USM untuk mendapatkan suapan bagi Mustafa Kamal dengan meluluskan syarikat sama sebagai pembekal 30 unit ‘souvenirs glass’ bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 September 2011 dan 14 Mei 2012.

Bagi semua pertuduhan itu, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah dan tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuden.

Pada prosiding itu, Amer Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Rahmatullah bagaimanapun membantah dan meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan.

Nizam kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,500 dengan empat penjamin bagi kesemua pertuduhan, selain menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:19 PM