MURID Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting menunjukkan sisipan keluaran khas Beautiful Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Ghazali Kori
MURID Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting menunjukkan sisipan keluaran khas Beautiful Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Ghazali Kori
Adrian David


POTENSI dan aset pelancongan Terengganu yang setanding dengan negara luar perlu diuar-uarkan secara lebih meluas dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang menikmati keindahan dan keunikan negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, usaha kerajaan negeri bekerjasama bagi mempromosikan aset pelancongan Terengganu menerusi keluaran khas ‘Beautiful Terengganu’ adalah langkah tepat dan menguntungkan. Katanya, kumpulan NSTP yang mempunyai saluran hebahan menerusi tiga akhbar arus perdana iaitu BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro dapat memainkan peranan menghebahkan tarikan negeri ini.

Katanya, aset pelancongan negeri perlu diuar-uarkan supaya mendapat ‘lamaran’ daripada pengunjung yang akan berbelanja untuk melihat keindahan Terengganu secara lebih dekat sekali gus menghebahkan ke serata dunia mengenai keindahan negeri ini.

“Untuk meuar-uarkan ‘Beautiful Terengganu’ maka usaha perlu dibuat untuk mempamerkan keindahan ini supaya lebih ramai yang tahu dan mengenali Terengganu, yang diibaratkan sebagai gadis cantik.

“Di sinilah peranan media massa, dan kumpulan NSTP mempunyai ‘alat’ untuk meuar-uarkan ‘Beautiful Terengganu’ dan satu alat hebahan adalah melalui keluaran khas sebagai sisipan dalam akhbar harian,” katanya berucap pada majlis pelancaran keluaran khas ‘Beautiful Terengganu’ sempena Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, hari ini.

Majlis pelancaran dilakukan Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Pengarang NSTP Datuk Yushaimi Maulud Yahaya dan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

ABDUL Jalil (dua dari kanan) menunjukkan sisipan keluaran khas kepada Tengku Zaihan (dua dari kiri) sambil disaksikan Yushaimi (kiri) dan Tun Ahmad Faisal. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Jalil (dua dari kanan) menunjukkan sisipan keluaran khas kepada Tengku Zaihan (dua dari kiri) sambil disaksikan Yushaimi (kiri) dan Tun Ahmad Faisal. FOTO Ghazali Kori

Abdul Jalil berkata, capaian pelanggan untuk akhbar NSTP berjumlah 8.2 juta iaitu 26 peratus daripada rakyat Malaysia dengan capaian pelanggan digital melebihi 18 juta pelawat unik yang jumlahnya semakin meningkat.

“Jika itu tidak mencukupi, kami di bawah Media Prima Berhad (MPB) mempunyai bukan sahaja satu, tetapi empat saluran televisyen dan diperkasakan lagi dengan empat stesen radio iaitu Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM.

“Dengan capaian yang begitu luas, tidak rugi bagi organisasi, termasuk jabatan kerajaan bersama NSTP dan MPB untuk menjalin kerjasama strategik bagi mencapai impak maksimum melalui hebahan seperti majlis hari ini, iaitu pelancaran keluaran khas Kempen Melawat ‘Beautiful Terengganu’ Bersama NSTP.

“Pendekatan diambil kerajaan negeri juga bijak dan tepat kerana kita akan turut meuar-uarkan bukan sahaja aset pelancongan negeri, tetapi juga Ekspo Terengganu yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 4:58 PM