Zulkifly (tali leher merah) bersama peserta yang akan membantu kempen TMM 2020 selepas majlis perasmian MAIKOL anjuran Tourism Malaysia di Petaling Jaya hari ini. Foto Aizuddin Saad
Zulkifly (tali leher merah) bersama peserta yang akan membantu kempen TMM 2020 selepas majlis perasmian MAIKOL anjuran Tourism Malaysia di Petaling Jaya hari ini. Foto Aizuddin Saad
Iskandar Shah Mohamed


DUA puluh lima individu yang berpengaruh dalam media sosial negara ASEAN dihimpunkan menerusi satu program khas bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia.

Program Malaysia-ASEAN Tourism Influencers Key Opinion Leaders (MAIKOL) anjuran Tourism Malaysia selama seminggu itu memberi peluang kepada semua individu berkenaan meuar-uarkan pelancongan negara ini kepada pengikut mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Zulkifly Md Said berkata, inisiatif yang julung kali dilaksanakan pihaknya itu merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program itu adalah gabungan aktiviti antaranya lawatan dan penjelajahan peserta untuk mengetengahkan produk pelancongan Malaysia yang kurang dikenali.

“Sejajar dengan temanya iaitu ‘Unforgettable Experience in Malaysia’, pengalaman unik yang mempunyai nilai tambah turut akan ditonjolkan bagi memberi pelbagai idea dan aktiviti percutian menarik di negara ini,” katanya pada majlis perasmian program itu di Petaling Jaya hari ini.

Menurutnya, pihaknya teruja untuk mengikuti pengembaraan dan pengalaman peserta sepanjang program MAIKOL di platform media sosial masing-masing.

“Menerusi perkongsian atau muat naik di media sosial mereka, kami menjangkakan dapat mencapai antara dua hingga empat juta jangkauan pengikut,” katanya memaklumkan program itu bermula hari ini hingga 1 September ini.

Beliau berkata, peserta akan diasingkan kepada beberapa kumpulan untuk menjelajah semua 13 negeri di negara ini.

“Mereka juga akan berpeluang untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

“Sebanyak 30 hingga 40 muat naik dijangka disiarkan oleh peserta sepanjang program itu termasuk artikel dan siaran secara langsung sama ada di Facebook (FB), Instagram, YouTube, Twitter dan blog,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, program berkenaan membantu kerajaan merealisasikan sasaran kehadiran sebanyak 30 juta pelancong asing ke negara ini tahun depan.

“Kita berharap program seumpama ini dapat meningkatkan lagi jumlah kemasukan pelancong dari negara ASEAN termasuk menerusi jalinan kerjasama daripada semua pihak berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:12 PM