MOHD Haziq Asyriffan (berkerusi roda) dan Muhamad Danish Iskandar (dua dari kiri) bersama ibu bapa mereka (dari kanan) Sabrina Sahib, Abd Rahman dan Azmin selepas sidang media di Seberang Jaya, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
MOHD Haziq Asyriffan (berkerusi roda) dan Muhamad Danish Iskandar (dua dari kiri) bersama ibu bapa mereka (dari kanan) Sabrina Sahib, Abd Rahman dan Azmin selepas sidang media di Seberang Jaya, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
Nur Izzati Mohamad


DUA pesakit kanser yang disahkan doktor tidak lagi mempunyai harapan untuk sembuh mengimpikan dapat bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah bersama keluarga mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Danish Iskandar Azmin, 16, dan Mohd Haziq Asyriffan Abdul Rahman, 10, memilih untuk melancong di pulau peranginan berkenaan kerana suasana mendamaikan dan memberi ketenangan kepada mereka dalam meniti hari terakhir ekoran penyakit dihadapi.

Bapa kepada Mohd Danish, Azmin Abdul Aziz, 44, berkata anak keduanya itu disahkan menghidap kanser tulang sejak awal tahun ini dan dimaklumkan tidak lagi boleh dirawat apabila sel kanser mula merebak hingga ke paru-paru.

“Sekarang ini, Danish hanya dapat bertahan dengan ubat tahan sakit diberikan doktor dan saya mengharapkan dia kuat untuk melawan penyakitnya walaupun tidak pasti sampai bila dia boleh bertahan.

“Namun, sebagai bapa saya tidak akan berputus asa dan berharap dapat menggembirakan dirinya dengan membawa dia bercuti ke Pulau Langkawi kerana itu antara permintaan terakhirnya,” katanya.

Azmin berkata demikian ketika ditemui dalam pertemuan diatur Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara bersama media untuk meuar-uarkan kepada orang ramai mengenai sumbangan bagi membolehkan keluarga berkenaan bercuti ke Pulau Langkawi di Seberang Jaya, hari ini.

Bapa kepada Mohd Haziq, Abdul Rahman Md Desa, 36, berkata dia tidak dapat menjangkakan jangka hayat anaknya yang kini sudah dilihat semakin kritikal.

“Haziq menghidap leukemia sejak berusia lima tahun dan pada ketika itu semangat untuk melawan penyakitnya sangat tinggi apabila dia boleh hidup sehingga hari ini.

“Namun, keadaan kesihatannya tiba-tiba merudum apabila dimasukkan ke hospital pada April lalu dan sel kansernya didapati sudah merebak hingga doktor mengatakan tidak ada rawatan lagi untuk menyembuhkannya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, anaknya itu meminta untuk pergi bercuti melihat keindahan pantai di Langkawi dan berharap ia dapat ditunaikan dengan pertolongan individu prihatin.

“Sebelum ini, Haziq meminta saya untuk membawa dia pulang ke rumah datuk dan neneknya di Negeri Sembilan dan saya sudah tunaikan ketika menyambut Aidiladha lalu.

“Kini dia pula meminta saya untuk membawa dia melihat suasana pantai di Langkawi, namun saya tidak mampu untuk membiayai kos percutian itu memandangkan hanya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Tayib, berkata pihaknya memerlukan RM5,000 untuk membawa kedua-dua kanak-kanak itu bersama keluarga mereka untuk bercuti ke Pulau Langkawi.

“Ini adalah permintaan terakhir kanak-kanak ini dan kita terpanggil untuk membantu dengan meuar-uarkan kepada orang awam supaya turut serta menunaikan impian mereka.

“Lebih 300 kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis kanser berusia sejak lahir hingga 18 tahun berdaftar dengan persatuan ini yang ditubuhkan sejak September 2016.

“Orang ramai yang ingin turut serta membantu merealisasikan impian dua kanak-kanak itu ke Pulau Langkawi boleh menyalurkan ke akaun Maybank persatuan berkenaan bernombor 557102120607,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:43 PM