Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dalam kejadian di FELDA Ulu Belitong kira-kira jam 8.30 malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dalam kejadian di FELDA Ulu Belitong kira-kira jam 8.30 malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


DUA lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung di FELDA Ulu Belitong, Kluang, 8.30 malam tadi.

Faiz Razak, 25, maut di tempat kejadian, manakala Md Rizel Sanip, 39, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham, berkata, Faiz dipercayai dalam perjalanan ke arah Kota Tinggi dari kediamannya di Ladang Sindora, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memintas Perodua Myvi sebelum bertembung dengan sebuah motosikal.

“Pertembungan menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad berkata, kedua-dua mangsa menunggang sendirian dan siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus tetapi keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.

“Mayat mangsa dirujuk ke HEBHK untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing awal pagi tadi.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:34 AM