Keadaan kenderaan milik Abdul Azim (gambar kecil) selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 49, Jalan Yong Peng - Kluang. FOTO Ihsan Bomba Dan Penyelamat Kluang.
Keadaan kenderaan milik Abdul Azim (gambar kecil) selepas bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 49, Jalan Yong Peng - Kluang. FOTO Ihsan Bomba Dan Penyelamat Kluang.
Adnan Ibrahim


LELAKI maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya merempuh sebuah lori pasir di Kilometer 49, Jalan Yong Peng-Kluang, dekat Kluang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Azim Abdul Wahab, 25, berasal dari FELDA Ayer Hitam, dekat sini.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Toyota Avanza dipandu mangsa yang datang dari arah Paloh terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah Kluang.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala. Mangsa dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Abduh berkata, mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), dekat sini untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.

“Pemandu lori berusia 56 tahun dan berasal dari Taman Desa, dekat sini tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi kemalangan adalah jalan lurus dan mempunyai garisan berkembar selain cuaca baik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 5:02 PM