Pasangan suami isteri terbunuh selepas motosikal mereka dirempuh kereta Proron Wira (gambar kiri) yang terbabas di KM 86.8 Jalan Kota Tinggi - Kluang. - Foto ADNAN IBRAHIM
Pasangan suami isteri terbunuh selepas motosikal mereka dirempuh kereta Proron Wira (gambar kiri) yang terbabas di KM 86.8 Jalan Kota Tinggi - Kluang. - Foto ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki bertembung kereta yang hilang kawalan di Kilometer 86.8 Jalan Kota-Tinggi-Kluang berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kluang, semalam.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, Aziz Jaspir, 53, yang menaiki motosikal bersama isterinya, Haslinda Jalil, 47, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Titiwangsa dekat sini, selepas menghadiri ceramah Maulidur Rasul disampaikan Datuk Ustaz Mohamad Kazim Elias, di Dataran Taman Makmur di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat pertembungan itu, mangsa terpelanting sejauh kira-kira 10 meter dan kedua-duanya cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian," katanya.

Menurutnya, pemandu Proton Wira terbabit, Kong Kah Man, 29, dan adiknya, Khong Kah Sun, 20, turut cedera parah serta patah kaki dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:05 PM