TANGKAP layar video tular memaparkan kehadiran sepasukan polis di kediaman si mati. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular memaparkan kehadiran sepasukan polis di kediaman si mati. FOTO Tular
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Wanita yang mengalami penyakit psikiatri ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Felda Ulu Belitong, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, jiran wanita berkenaan menghubungi pihak polis pada 12.05 tengah malam selepas terhidu bau busuk di rumah mangsa.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu dan tiada tanda rumah dipecah masuk atau kecederaan pada badan mangsa.

"Wanita itu tinggal bersendirian di rumah milik keluarga manakala adik-beradiknya akan menziarahi mangsa sebulan sekali secara bergilir-gilir.

"Ahli keluarga mengesahkan si mati mengalami penyakit psikiatri sejak kecil dan mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan kehadiran sepasukan polis di kediaman si mati dan mendapat reaksi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:18 PM