Orang ramai lebih banyak berbelanja ketika musim perayaan dan peniaga digalakkan menjual barangan harga terkawal pada harga lebih rendah.
Orang ramai lebih banyak berbelanja ketika musim perayaan dan peniaga digalakkan menjual barangan harga terkawal pada harga lebih rendah.
Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2017 bagi 16 barangan harga terkawal bermula 23 hingga 27 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia akan dilaksanakan lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, hari perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit mengikut kewajaran dan kesesuaian untuk memastikan harga ditentukan berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna juga peniaga.

“Senarai barangan itu termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam Belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang serta daging kambing/biri-biri import bertulang.

“Barangan lain ialah telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan.

Mereka juga perlu meletakkan tanda harga khas merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

“Penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan,” katanya.

Berikutan itu, Hamzah mengingatkan peniaga bahawa tindakan akan diambil jika mereka gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

Pihak yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditentukan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat, denda maksimum sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

“Individu yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat, denda sehingga RM20,000 atau kompaun hingga RM10,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:22 PM