HAMZAH pada sidang media mengenai Pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015.
HAMZAH pada sidang media mengenai Pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 16 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena sambutan Krismas.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim kawalan harga untuk manfaat pengguna serta peniaga itu dikuatkuasakan lima hari bermula 23 hingga 27 Disember di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Barangan dikawal adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersih berserta kaki, kepala, hati), ayam super (disembelih dan dibersih tanpa kaki, kepala, hati), kepak ayam, daging kambing bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang serta daging kambing biri-biri import tanpa tulang.

“Sebagai contoh, harga runcit ayam standard di semenanjung RM7.30 setiap kilogram (kg) manakala ayam super, RM8.10 (sekilo) dan kepak ayam, RM12 hingga RM13 di Sarawak serta Sabah, RM9.80

“Selain itu, harga telur ayam gred A,B,C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup (kawalan di peringkat ladang) serta daging babi (perut, daging dan lemak) juga termasuk dalam skim kawalan harga ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad

Menurut Hamzah lagi, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dilakukan mengikut kewajaran serta kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga lebih berkesan.

Jelas beliau, bagi ayam hidup, babi dan telur ayam, harga maksimum ditentukan di peringkat pengeluaran (ladang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:46 AM