KPDNKK Selangor melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2017 bagi 13 barangan berkuat kuasa 23 Januari hingga 3 Februari ini.
KPDNKK Selangor melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2017 bagi 13 barangan berkuat kuasa 23 Januari hingga 3 Februari ini.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2017 bagi 13 barangan berkuat kuasa 23 Januari hingga 3 Februari ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, harga maksimum ini ditentukan untuk 149 daerah atau kawasan seluruh negara selama 12 hari iaitu lima hari sebelum, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan.

Katanya, ia dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Antaranya barangan itu adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersih berserta kaki, kepala, hati) dan ayam super (disembelih dan dibersih tanpa kaki, kepala, hati).

"Barangan lain termasuk telur ayam gred A,B,C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup (kawalan di peringkat ladang) serta daging babi (perut, daging dan lemak)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hamzah berkata, harga maksimum pengeluar, pemborong dan runcit ditentukan mengikut 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, harga runcit maksimum ayam standard bagi setiap kilogram (kg) di semua negeri adalah RM7.50 kecuali Langkawi RM8, manakala Sarawak antara RM8.50 hingga RM12; Sabah, RM9.60 dan Labuan RM9.80.

"Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

"Individu menjual melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000,"katanya.

Sementara kesalahan yang dilakukan syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 3:19 PM