KETUA Seksyen Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan (dua kanan) bersama Penolong Penguatkuasa KPDNKK, Saidatul Hanim Yahya (kiri) menunjukan komputer menggunakan perisian cetak rompak yang dirampas. FOTO L Manimaran
KETUA Seksyen Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan (dua kanan) bersama Penolong Penguatkuasa KPDNKK, Saidatul Hanim Yahya (kiri) menunjukan komputer menggunakan perisian cetak rompak yang dirampas. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas tiga komputer dan enam komputer riba mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM354,000 dalam serbuan di dua premis di Ipoh pada 29 dan 30 November lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada Gabungan Perisian Perniagaan (BSA).

Katanya, daripada jumlah itu, RM327,000 adalah nilai rampasan membabitkan perisian komputer disyaki cetak rompak manakala RM27,000 lagi adalah nilai rampasan membabitkan komputer dan komputer riba.

Menurutnya, nilai rampasan itu adalah yang tertinggi membabitkan perisian komputer di Perak setakat ini dan semua perisian yang disyaki salinan langgaran itu adalah perisian yang dimiliki hakciptanya oleh Adobe, AutoDesk dan Solidworks.

"Serbuan pertama dijalankan di premis yang menjalankan perniagaan dalam pembuatan dan pemasangan mesin bagi pembungkusan serta pembuatan makanan di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Lahat di Ipoh.

"Dalam serbuan itu tiga komputer riba dan satu komputer disita untuk siasatan lanjut kerana disyaki mengandungi tiga perisian salinan langgaran iaitu satu perisian €˜Solidworks Premium 2016™, empat perisian AutoCAD 2016 dan satu perisian Adobe Creative Suite 6 Master Collection,” katanya dalam sidang media di Pejabat KPDNKK di Ipoh, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, serbuan kedua pula dilakukan di syarikat pembinaan di Taman Canning dan dalam serbuan itu tiga komputer riba pelbagai jenama dan dua komputer disita untuk siasatan lanjut kerana disyaki mengandungi 10 perisian cetak rompak iaitu dua AutoDesk dan lapan Adobe.

Katanya, kedua-dua syarikat berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 yang sabit kesalahan syarikat dan pengurusannya boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak manakala pengarah syarikat boleh dipenjara maksimum lima tahun.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, sehingga 30 November tahun ini, sebanyak lima kes membabitkan isu perisian salinan langgaran berjaya dikesan membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM372,500.

“KPDNKK akan terus melipatgandakan usaha melindungi harta intelek daripada disalahguna pihak tidak bertanggungjawab mengikutAkta Hakcipta 1987 dan kami juga tidak akan berkompromi sekiranya terdapat premis perniagaan yang menjalankan aktiviti dan pemasangan cetak perisian cetak rompak,” katanya

Gambar L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 4:04 PM