RIZQ Fazliana menunjukkan komputer yang dirampas. FOTO Dazar Suarman
RIZQ Fazliana menunjukkan komputer yang dirampas. FOTO Dazar Suarman
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor merampas 14 set komputer termasuk komputer riba bernilai RM804,500 disyaki mengandungi perisian cetak rompak atau salinan langgaran dalam operasi di empat premis pada 3 hingga 5 Mei lalu.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Negeri, Rizq Fazliana Abdul Hamid berkata, rampasan terbesar tahun ini oleh 25 anggota penguatkuasa hasil pemeriksaan ke atas empat premis di Kulai, Tebrau dan Pasir Gudang.

Beliau berkata,operasi membabitkan industri kejuruteraan, makanan dan pembinaan selepas disyaki menggunakan perisian cetak rompak atau salinan langgaran.

"Tindakan ini adalah hasil dari pemantauan dan risikan selama sebulan dibuat oleh pengadu Business Software Alliance (BSA) bagi mewakili tuan punya hak cipta perisian itu.

"Dalam tindakan operasi itu, pasukan operasi merampas 14 set komputer termasuk komputer riba mengandungi 64 perisian disyaki salinan langgaran," katanya pada sidang media di Menara Ansar di sini, hari ini.

Katanya, ia melangggari Seksyen 41 (1) (d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 3:21 PM