AHMAD Ahrazzuddin (dua dari kanan) menunjukkan antara tiga buah set komputer dan sebuah komputer riba yang disita selepas dipercayai menggunakan perisian komputer salinan langgaran dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam dua serbuan premis di daerah SPT. FOTO Ihsan KPDNHEP SPT
AHMAD Ahrazzuddin (dua dari kanan) menunjukkan antara tiga buah set komputer dan sebuah komputer riba yang disita selepas dipercayai menggunakan perisian komputer salinan langgaran dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam dua serbuan premis di daerah SPT. FOTO Ihsan KPDNHEP SPT
Zuhainy Zulkiffli


TINDAKAN dua syarikat menggunakan perisian cetak rompak mengundang padah apabila tiga komputer dan sebuah komputer riba bernilai RM7,000 dirampas dalam serbuan berasingan, di sini.

Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah syarikat kejuruteraan di Seberang Jaya dan syarikat pembinaan di Perai, kelmarin dan semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Seberang Perai Tengah, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, pemeriksaan pertama menemui dua komputer yang digunakan syarikat itu mengandungi salinan langgaran Perisian Autocad 2007 dan Autocad Civil 3D 2017.

“Manakala serbuan di premis kedua didapati menyimpan komputer dan komputer riba menggunakan salinan langgaran iaitu Autocad 2016, Windows 10 Pro dan Office Professional Plus 2013.

“Kedua-dua rampasan itu masing-masing dianggarkan berjumlah RM4,000 dan RM3,000 manakala kesemua komputer disita bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai diminta tidak mengunakan salinan langgaran atau perisian cetak rompak dalam melaksanakan urusan harian perniagaan.

“Penggunaan salinan langgaran adalah satu kesalahan kerana ia membabitkan perlindungan harta intelek serta dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 4:53 PM