Pelajar SMK Sultan Ismail dan anggota tentera bergambar di hadapan kereta perisai Condor RPZ 4x4. FOTO Rosli Ilham
Pelajar SMK Sultan Ismail dan anggota tentera bergambar di hadapan kereta perisai Condor RPZ 4x4. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan sebuah kereta perisai terpakai kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Dungun untuk dijadikan monumen, hari ini.

Penyerahan kereta perisai Condor RPZ 4x4 itu dilakukan Panglima 4 Briged Mekanise, Brigedier Jeneral Datuk Md Din Abu kepada pengetua sekolah itu, Hamidah Hassan.

Hamidah berkata, kereta perisai itu akan menjadi monumen sekali gus dapat menjadi satu mercu tanda bahawa sekolah itu melahirkan pelajar yang berjaya menjadi seorang Panglima ATM.

"Ini kerana Panglima ATM sekarang, Tan Sri Raja Mohammed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan pelajar sekolah kami dari 1971 hingga 1975.

"Pihak kami berterima kasih kepada ATM kerana menyumbang kereta perisai ini sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah," katanya yang ditemui selepas majlis penyerahan itu.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Pegawai Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Fauzi Mohd Adam serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Sultan Ismail Syed Shaharzi Syed Alwi.

Menurutnya, pihaknya berharap monumen itu mampu menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada pelajar yang ada untuk cemerlang dalam pendidikan sekali gus mencontohi kejayaan Raja Mohammed.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:08 PM