Rakaman video latihan tentera yang ditularkan semula.
Rakaman video latihan tentera yang ditularkan semula.
Mohd Khidir Zakaria


PENULARAN video yang direkodkan dua tahun lalu mengenai latihan komando dengan menendang perut yang disebarkan baru-baru ini dilihat cuba memburukkan organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, video itu ialah latihan pasukan khas anggota Tentera Darat yang pernah tular beberapa tahun lalu.

"Kita tidak pasti, apakah tujuan sebenar pihak tidak bertanggungjawab menular kembali video lama ini. Apakah sekadar untuk mengaibkan atau mengaitkan dengan isu berlaku baru-baru ini tetapi ia amat tidak wajar sama sekali.

"Sebagai anggota tentera, mereka perlu dibina kekuatan fizikal dan mental. Latihan seperti itu adalah perkara biasa sebenarnya namun kita sudah pun mengambil tindakan menangani kes berkenaan lama dulu.

"Kenapa baru sekarang kembali ditularkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pembubaran dan Penganugerahan Pingat PNBB MALBATT 850-4 di Pusasda, hari ini.

Katanya, penyebaran video ini adalah satu perkara paling tidak bertanggungjawab seolah-olah memburukkan organisasi ATM keseluruhannya dan berharap orang ramai tidak terpedaya.

Mengulas tugasan MALBATT 850-4 yang baru dibubarkan, Mohamed Affandi berkata, sepanjang 12 bulan di Lubnan, tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini membabitkan anggota ATM.

"Apa yang penting ialah pengajaran bertugas di negara bergolak iaitu nilai keamanan kita kecapi hingga hari ini.

"Sudah 10 tahun kita bertugas di MALBATT dan ia akan diteruskan selagi dikehendaki PBB," katanya.

Dalam perbarisan itu, seramai 850 anggota yang diketuai Kolonel Riezal Arif Ismail termasuk tiga pegawai dan 24 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 3:57 PM