Kalidevi Mogan Kumarappa


DALAM usaha membantu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediakan Hospital Medan ARPA di negara berkenaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), bulan ini.

Hospital medan tahap kedua itu apabila di atur gerak ke Bangladesh akan menjadi hospital medan yang paling canggih dan lengkap setakat ini berbanding dua hospital medan sedia ada kelolaan Norwegian Red Cross dan Bangladesh Red Crescent.

Panglima ATM Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, ini adalah kali pertama aset ketenteraan yang biasa digunakan di zon konflik dipinjamkan kepada kakitangan awam iaitu KKM.

"ATM bertungkus-lumus menyediakan hospital medan ARPA lengkap dengan semua peralatan perubatan dan aset sokongan termasuk untuk membuat pembedahan bagi kegunaan KKM bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya selaras dengan hasrat kerajaan.

"Selain itu, seramai 140 doktor pakar, pegawai perubatan serta staf sokongan KKM dan pertubuhan bukan kerajaan menerima latihan daripada enam doktor pakar dan 40 anggota perubatan ATM untuk menghadapi situasi sebenar operasi hospital medan di Bangladesh," katanya selepas melakukan tinjauan persiapan Hospital Medan ARPA bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh selain berjumpa dengan pasukan Hospital Medan Malaysia di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, selain 140 kakitangan KKM dan NGO, seramai 10 anggota ATM yang pakar di dalam hospital medan ARPA akan ke Bangladesh bagi kerja pemasangan hospital medan terbabit dan selepas kerja pemasangan selesai, hospital berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 1:35 PM
Mohamed Affandi (tiga dari kiri) mendengar penerangan Ketua Pasukan Hospital Medan Malaysia Dr Rizal Amrin Alwi mengenai operasi Hospital Medan ARPA, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Mohamed Affandi (tiga dari kiri) mendengar penerangan Ketua Pasukan Hospital Medan Malaysia Dr Rizal Amrin Alwi mengenai operasi Hospital Medan ARPA, hari ini. FOTO Saddam Yusoff