ANTARA anggota tentera dari cawangan darat, udara dan laut mengambil bahagian dalam perbarisan hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85 di Pangkalan Udara, Subang. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD
ANTARA anggota tentera dari cawangan darat, udara dan laut mengambil bahagian dalam perbarisan hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85 di Pangkalan Udara, Subang. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Hasbi Sidek

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berpegang teguh kepada prinsip atau amalan apolitical iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti politik mahupun terbabit dalam perjuangan parti tertentu.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, ATM akan terus berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah dan akan sentiasa memberi taat setia tidak berbelah bagi kepada raja dan negara.

PERBARISAN turut disertai dengan peragaan aset ATM iaitu pesawat Airbus A-400M, pesawat C-130 Hercules, helikopter Black Hawk, Helikopter AS-61 N1, kereta perisai Adnan, Vamtac AGL dan lintas hormat udara oleh sembilan buah helikopter. FOTO/BERNAMA

“Ini adalah prinsip asas terpenting yang perlu diamati setiap warga ATM, bahkan seluruh rakyat Malaysia supaya ATM tidak tercemar dan kekal sebagai sebuah angkatan profesional.

“Sekiranya prinsip ini tidak digalas sepenuhnya, kemungkinan besar salah guna kuasa akan berlaku dan ia akan mencetuskan konflik dan mungkin mengakibatkan pertumpahan darah, yang mana ia buka jalan penyelesaian terbaik bagi sebuah negara berdaulat,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan sempena perbarisan Hari ATM ke-85 di Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan warga ATM supaya sentiasa matang dan bijak mengadaptasi zaman teknologi kini.

Katanya, menuju era globalisasi ketika ini, dunia menjejak kaki ke era Revolusi Industri ke-4 yang mana teknologi berkembang pesat membangun.

PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin memeriksa perbarisan. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD
PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin memeriksa perbarisan. FOTO/KHAIRUL AZHAR AHMAD

“Segala maklumat kini mudah diperoleh. Justeru, warga ATM perlu matang dan jangan mudah terpengaruh dengan informasi yang tular tanpa mengetahui kesahihannya.

“Saya minta supaya warga ATM bijak menilai dan tidak terpedaya dengan budaya palsu dan fitnah. Justeru, warga ATM bukan sekadar perlu mengikuti peredaran ini malah kita seharusnya mendakap dan mendahului perubahan, khususnya dalam penggunaan teknologi serta pengendaliannya secara bijaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 10:54 AM