NURFARZANA bersama ibu dan bapanya di majlis pengumuman keputusan UPSRA 2017 di Sekolah Rendah Agama Al-Ghazali.
NURFARZANA bersama ibu dan bapanya di majlis pengumuman keputusan UPSRA 2017 di Sekolah Rendah Agama Al-Ghazali.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Mengimpikan untuk meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan bercita-cita menjadi doktor yang menghafaz al-Quran.

Itu impian pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) Wilayah Persekutuan, Nurfarzana Aliah Shamsul, 12, yang mencatatkan kejayaan 7A dalam peperiksaan itu.

Nurfarzana yang berjaya mencatatkan peratusan tertinggi dalam UPSRA iaitu 97.86 peratus berhasrat untuk meneruskan pengajian di SMA MAIWP.

“Saya memang minat untuk mendalami agama Islam jadi saya fikir sekolah menengah terbaik yang menawarkan kurikulum agama adalah di SMA MAIWP.

“Selanjutnya saya bercita-cita untuk menjadi doktor yang bukan saja mahir dalam profesion tetapi mempunyai pengetahuan agama yang mendalam seperti doktor yang hafiz al-Quran,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Ghazali, semalam.

Nurfarzana berkata, kejayaannya itu adalah berkat doa ibu bapanya serta bimbingan daripada ustazah serta ustaz.

Menurutnya, memberi fokus di dalam kelas selain sering mengulangkaji pelajaran adalah resipi kejayaan buatnya.

Bapa Nurfarzana, Shamsul Sarip, 43, berkata, anaknya itu memang minat dalam pengajian agama dan beliau serta isteri hanya memberi dorongan.

Shamsul yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, ia juga adalah hasil dedikasi guru yang membimbing.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yusof Mamat berkata, secara keseluruhannya keputusan UPSRA menurun 0.5 peratus.

“Jumlah calon pada tahun ini seramai 6,836 murid untuk Wilayah Persekutuan dan daripada jumlah itu, 1,081 calon berjaya mendapat keputusan 7A,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:19 AM