Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diiringi Ahmad Zahid (tiga kanan) melawat gerai karnival. FOTO Aswadi Alias
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diiringi Ahmad Zahid (tiga kanan) melawat gerai karnival. FOTO Aswadi Alias
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kehadiran Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menyempurnakan Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 menjadi tumpuan pengunjung di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Rata-rata pengunjung yang datang seawal 7 pagi itu setia menanti ketibaan Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong untuk melihat lebih dekat dan merakam momen terbabit.

Pengunjung dari Cheras, Nik Seri Suria Nik Hamidin, 41, berkata, selepas mengetahui mengenai Karnival MAIWP 2023 itu melalui media massa, dia mengajak suami dan anak untuk berkunjung ke situ kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat Seri Paduka Baginda dan Permaisuri Agong secara langsung.

"Selain melihat acara yang akan diadakan sepanjang karnival ini, saya teruja untuk bertemu dengan Agong dan Permaisuri.

"Tak sabar juga nak melawat tapak pameran yang diadakan dan disebabkan itu saya mengajak suami serta anak untuk menghabiskan cuti hujung minggu ke Karnival MAIWP ini," katanya kepada Harian Metro.

Pelajar, Mohammad Fazli Noor Azman, 22, turut melahirkan keterujaan dapat melihat Baginda dan Permaisuri.

"Saya dan rakan-rakan datang ke karnival ini untuk mendapatkan maklumat mengenai tawaran pelajaran di bawah kolej MAIWP.

"Saya tidak sangka Agong dan Permaisuri hadir ke Karnival MAIWP ini, kami juga tak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan," katanya.

Karnival MAIWP ini berlangsung selama dua hari bermula 28 dan 29 Januari 2023 dengan membawa tema Kecemerlangan MAIWP.

Sebanyak 100 tapak pameran disediakan yang menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf MAIWP, perkhidmatan dan institusi pendidikan serta kesihatan di bawah MAIWP.

Dalam majlis ini juga, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000 kepada Ikon Usahawan MAIWP dan Ikon Pendidikan MAIWP.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 2:15 PM