JAMIL  (dua dari  kiri) bersama  Dr Zulkifli   (dua dari kanan) pada pelancaran Pondok Moden Al-‘Abaqirah.
JAMIL (dua dari kiri) bersama Dr Zulkifli (dua dari kanan) pada pelancaran Pondok Moden Al-‘Abaqirah.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pondok Moden Al-‘Abaqirah yang akan mula beroperasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur bulan depan akan berfungsi melahirkan pelapis ulama yang pakar dalam ilmu agama dan duniawi terutama bagi mendepani cabaran baru terhadap Islam sejak akhir-akhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau berharap pondok moden ini dapat mengembalikan kekuatan sistem thurah Islami terdahulu sehingga berjaya melahirkan pakar dalam pelbagai bidang agama.

Beliau berkata, penubuhan pondok moden itu juga diharap mampu menangani dan menyelesaikan isu semasa dan terkini, contohnya isu gay, lesbian, biseksual dan transeksual (LGBT) yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia.

“Pondok moden ditubuhkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu akan menerima kemasukan pertama 40 pelajar dan lapan tenaga pengajar di peringkat awal diikuti 100 pelajar pada tahun berikutnya dan segala kos pengajian ditanggung sepenuhnya MAIWP.

“Pelajar diterima masuk terdiri daripada mereka yang lulus Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), malah pelajar juga dikehendaki mengambil mata pelajaran Bahasa Arab serta beberapa syarat lain sebelum melayakkan mereka dipanggil menduduki ujian bertulis dan temuduga,” katanya ketika berucap melancarkan Pondok Moden Al-’Abaqirah MAIWP di sini, semalam.

Katanya, pelajar akan melalui proses pembelajaran selama empat tahun berteraskan kitab turath yang digabungkan dengan syariah, usuluddin dan dakwah, selain disokong dengan pembelajaran akademik.

Jamil Khir berkata, konsep pembelajaran pula berbeza dengan sekolah agama dan pondok lain kerana berteraskan pembelajaran silibus azhari atau akademik saja.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata, pelajar yang tamat pengajian akan dianugerahkan sijil diperakui dan boleh digunakan bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:11 AM