SUASANA pertandingan bahas yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.
SUASANA pertandingan bahas yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.
Suliati Asri


KUALA LUMPUR: Hujah padat dalam menyokong usul Tanggungjawab Mempertahankan Kemerdekaan: Belia Malaysia Sudah Bersedia selaku pihak kerajaan berjaya menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju sebagai Johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2019.

Kemenangan itu menewaskan pembangkang iaitu Sekolah Menengah Agama - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) sekali gus menobatkan mereka sebagai naib juara. Tempat ketiga dimenangi bersama Maktab Tentera Diraja Malaysia dengan SMK Sri Rampai.

Kelantangan menyampaikan hujah bernas dengan cara tersendiri memikat hati juri menobatkan Emran Emir Mohd Shahnaz, 13, dari pasukan johan memenangi pembahas terbaik pertandingan.

Emran yang mengikuti aktiviti berbahas setahun lalu awalnya tidak faham apa itu perbahasan dan hanya mengetahui ia percakapan awam di khalayak.

Katanya, dia terkejut apabila dinobatkan sebagai pembahas terbaik dan tidak menduga kerana berasa diri banyak kekurangan untuk menerima anugerah itu.

SYED Hussien (tengah)   bersama Emran Emir (empat dari kanan) dari SMK Zon R1 Wangsa Maju yang menjuarai   Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP 2019.
SYED Hussien (tengah) bersama Emran Emir (empat dari kanan) dari SMK Zon R1 Wangsa Maju yang menjuarai Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP 2019.

“Saya tidak sangka juri percayakan saya. Sebagai orang baharu dalam bidang ini, masih banyak yang perlu dipelajari daripada guru serta rakan berpengalaman.

“Saya bersyukur atas kemenangan ini. Terima kasih cikgu, sekolah, ibu dan bapa serta semua yang menyokong saya sekali gus menjadikan pasukan kami johan,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Johan pertandingan menerima hadiah RM5,000 serta trofi manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga mendapat RM1,000, serta hadiah sagu hati bagi semua pasukan dan pembahas terbaik menerima RM500.

Dianjurkan buat julung kalinya, MAIWP mengadakan pertandingan peringkat Wilayah Persekutuan membabitkan 24 penyertaan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, program ini diteruskan sebagai acara tahunan kerana banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar khususnya sekolah menengah di Wilayah Persekutuan.

“Ada yang cadang menaik taraf perbahasan ala Parlimen Piala MAIWP ini ke peringkat kebangsaan.

“Dalam hal ini, saya akan berbincang dengan Pengarah Pendidikan Wilayah kerana ia menjadi program besar di peringkat kebangsaan.

PEMBAHAS daripada  SMA-MAIWP menyampaikan hujahnya.
PEMBAHAS daripada SMA-MAIWP menyampaikan hujahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:20 AM