KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail, (empat kanan) bersama Setiausaha Pertama (Perdagangan) Suruhanjaya Tinggi India, Bramha Kumar (lima kanan), Penasihat Majlis Malaysia India (MIBC), Tan Sri Ajit Singh dan Kamarudin (empat kiri) ketika majlis pelancaran laluan Kuala Lumpur-Jaipur. FOTO Aziah Azmee

Sri Ayu Kartika Amri

AIRASIA X terus memperluaskan rangkaian penerbangannya dengan melancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur, India dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

Penerbangan terbabit akan bermula pada 5 Februari 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pihaknya menjadi syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh pertama menawarkan penerbangan terus antara Kuala Lumpur ke Jaipur di India serta menghubungkan kota India ini dengan destinasi serantau AirAsia X.

"Kami berharap ia akan memberi hubungan lebih baik untuk pelancong bisnes dan juga santai di India untuk melancong ke destinasi di Asia Tenggara.

"India adalah pasaran penting dan kami akan terus memperluaskan perkhidmatan kami ke kota utama di India termasuk bandar lain yang kekurangan rangkaian hubungan penerbangan," katanya di majlis pelancaran laluan AirAsia X ke Jaipur di Kuala Lumpur, hari ini.

AirAsia X turut menawarkan promosi tambang yang dibuka melalui laman webnya untuk tempoh perjalanan antara 5 Februari 2018 sehingga 21 November 2018.

Laluan baharu ini menyusul selepas kejayaan pelancaran laluan Bangkok-Jaipur pada September lalu yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah jarak dekat bersekutunya, AirAsia Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 8:09 PM