GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bisnes HM

AIRASIA X akan memulakan operasi penerbangan sebanyak tujuh kali seminggu ke Honolulu, Hawaii dari Kuala Lumpur melalui Osaka, Jepun mulai 16 Ogos depan ekoran permintaan yang tinggi dari Asia Tenggara, dengan promosi terkini dari RM700 sehala termasuk cukai.

Penumpang boleh mendapatkan jualan tambang terhad ke Honolulu dari 28 Mei 2018 sehingga 3 Jun 2018 untuk tempoh perjalanan dari 18 Ogos 2018 sehingga 13 Ogos 2019 melalui airasia.com.

Tempat duduk AirAsia X yang memenangi anugerah dunia, Premium Flatbed turut ditawarkan dengan jualan murah hanya dari RM2,999 sehala termasuk semua sepanjang tempoh promosi, iaitu sebahagian kecil daripada kos tambang kelas perniagaan bagi syarikat penerbangan khidmat penuh di laluan yang sama.

Ketua Kumpulan Komersial AirAsia X, Barry Klipp, berkata, penerbangan sulung ke Honolulu tahun lalu dengan tambang rendah yang menakjubkan telah meningkatkan permintaan dan menarik minat dari rantau Asia Tenggara.

Katanya, dalam masa kurang dari setahun, pasaran ini berkembang pesat dan AirAsia X gembira untuk menawarkan penerbangan harian yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Honolulu untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan meningkatkan pelancongan di kedua-dua rantau.

“Kami kekal sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah dunia yang menawarkan tempat duduk yang mampu direbahkan 180 dan memberi pengalaman premium tambang rendah terbaik di udara untuk harga yang hampir sama bagi tempat duduk ekonomi syarikat di syarikat penerbangan perkhidmatan penuh untuk laluan sehenti yang hampir sama.

“Jualan murah akan berakhir tidak lama lagi. Justeru, kami mengalu-alukan mereka yang mahu tambang dengan nilai berbaloi untuk segera mendapatkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia X kini beroperasi sebanyak empat penerbangan empat seminggu dari Kuala Lumpur ke Honolulu, Hawaii dengan satu hentian di Osaka, Jepun.

Penumpang yang membuat transit di Osaka tidak memerlukan visa Jepun semasa hentian selama dua jam dan boleh kembali ke tempat duduk masing-masing di dalam pesawat selepas pemeriksaan keselamatan ke atas sebarang barangan atau bagasi yang dibawa ke dalam kabin.

Penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan Fly-Thru AirAsia untuk berhubung dengan lancar ke Honolulu dari bandar-bandar lain di dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X dengan hanya satu hentian.

Hawaii, yang digelar sebagai syurga Pasifik, dibentuk daripada lapan pulau yang terletak di tengah-tengah Lautan Pasifik.

Terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan dan budaya asli yang unik, syurga tropika adalah satu-satunya negeri Amerika Syarikat (AS) yang terletak di Oceania.

Honolulu, adalah ibu kota Hawaii yang terletak di pulau yang berpopulasi tertinggi, pulau O'ahu yang boleh bermegah dengan pantai yang indah termasuk pantai terkemuka dunia, Wakiki yang pada satu ketika dahulu kawasan rumah peranginan untuk raja dan permaisuri Hawaii.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 1:23 PM