RAFIDAH (tengah) melancarkan penerbangan AirAsia X antara Kuala Lumpur ke Jaipur, India, hari ini. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
RAFIDAH (tengah) melancarkan penerbangan AirAsia X antara Kuala Lumpur ke Jaipur, India, hari ini. FOTO Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEJARAH terus dilakar apabila syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh pertama AirAsia X secara rasminya memulakan penerbangan terus ke Jaipur, India bermula semalam.

Airasia X memperluaskan rangkaian destinasinya melalui penerbangan sulung menggunakan pesawat Airbus A330-300s dari Kuala Lumpur ke Jaipur, India pada 7.30 malam dengan membawa lebih 100 penumpang termasuk Pengerusi AirAsia X Malaysia Tan Sri Rafidah Aziz.

Pesawat berkenaan yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur pada jam 10.30 malam (waktu tempatan) diberi sambutan tembakan meriam air sebagai menandakan bermulanya perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh pertama secara terus antara Kuala Lumpur ke Jaipur.

Malah, ia turut menghubungkan kota India itu dengan destinasi serantau AirAsia X.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun berkata, pihaknya yakin terhadap potensi AirAsia X mengembangkan operasi di ibu negeri Rajasthan itu selepas menawarkan perkhidmatan sama ke kota Delhi sebelum ini.

“Seramai 184,484 penumpang direkodkan sejak AirAsia X Malaysia menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Delhi, India bermula Februari 2016 hingga Disember lalu.

"Perkhidmatan terbaru AirAsia X ini sejajar dengan matlamat kami bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap laluan penerbangan baru ke kota utama di India.

“Kami menjangkakan laluan baru ini mampu melonjakkan lagi jumlah penumpang antara Malaysia, India dan rantau ini," katanya pada majlis pelancaran penerbangan AirAsia X ke Jaipur, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayah Abdul Hamid, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Muhammad Taiyab, Pengarah Pelancongan Rajasthan Pradeep Kumar Borar dan Pengurus Lapangan Terbang Jaipur Jaideep Singh Balhara.

Katanya, pihaknya mempunyai perancangan untuk membeli pesawat baru dan pastinya akan ada laluan baru AirAsia X bakal diperkenalkan.

"Isu kelembapan ekonomi tidak timbul kerana saya yakin orang akan tetap terbang. Modul yang kami gunakan sejak 2001 membuktikan AirAsia mampu dan berjaya menangani apa jua krisis," katanya.

Sementara itu, Rafidah dalam ucapannya berkata, laluan terbaru itu juga akan mengukuhkan kedudukan kumpulan syarikat AirAsia dan AirAsia X di pasaran antarabangsa.

Beliau turut mengumumkan tawaran promosi tambang yang dibuka melalui laman webnya untuk tempoh perjalanan antara 5 Februari lalu sehingga 11 Februari ini pada harga RM199 sehala.

Penerbangan terus dari KLIA2 ke Jaipur atau dikenali sebagai Kota Merah Jambu itu dilakukan pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu.

Laluan baru itu menyusul selepas kejayaan pelancaran laluan Bangkok-Jaipur pada September lalu yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang murah jarak dekat bersekutunya, AirAsia Thailand.

Jaipur dianggap istimewa berikutan menjadi lokasi utama pengambaran kebanyakan filem Bollywood selain cukup istimewa dengan kewujudan pelbagai festival, muzium dan istana lama yang mampu menggamit kedatangan pelancong ke bumi 'Diraja' ini.

AirAsia X pada 13 Disember lalu turut mengembangkan rangkaian laluannya di Asia dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke destinasi percutian popular Korea Selatan, Jeju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:19 PM