KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan AirAsia, Bo Lingam (enam dari kiri), Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Subhasini Narayanan (lima dari kiri) dan Riad (empat dari kanan) pada majlis perasmian pelancaran perjalanan tanpa visa untuk warga India ke Malaysia. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan AirAsia, Bo Lingam (enam dari kiri), Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Subhasini Narayanan (lima dari kiri) dan Riad (empat dari kanan) pada majlis perasmian pelancaran perjalanan tanpa visa untuk warga India ke Malaysia. - Gambar NSTP/ASWADI ALIAS
Nur Elysa Amirah Suhaimi


AIRASIA menawarkan tambang promosi istimewa kepada warga India ke tujuh destinasi selatan India serendah RM189 sehingga 24 Disember tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat terbabit turut melancarkan laluan baharu ke Thiruvananthapuram bermula 21 Februari tahun depan.

"Pengecualian visa selama 30 hari bagi warga India ke Malaysia antara inisiatif penting bagi syarikat kami.

"AirAsia mengendalikan tujuh laluan terus dari Malaysia ke bandar utara dan selatan India seperti Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru dan Kolkata melalui penerbangan jarak dekat, dengan kod penerbangan AK, manakala ke New Delhi dan Amritsar melalui penerbangan jarak sederhana, AirAsia X dengan kod penerbangan D7.

"Mulai Februari tahun depan, AirAsia memulakan penerbangan ke bandar Thiruvananthapuram di negeri selatan Kerala, menjadikannya laluan terus kedua ke negeri itu selepas Kochi," katanya pada majlis pelancaran perjalanan tanpa visa untuk warga India ke Malaysia bersama AirAsia di sini, semalam.

Riad berkata, pihaknya meningkatkan kekerapan penerbangan antara Malaysia dan India sebanyak 69 penerbangan mingguan pada suku pertama tahun depan sehingga 1.5 juta tempat duduk setahun dan merancang menambah destinasi penerbangan.

"Selama 15 tahun menjalinkan hubungan dengan India sejak 2008, kami sentiasa berusaha meningkatkan kerjasama antara India dan Malaysia.

"Jaipur, Goa, Varanasi dan Vizag juga antara destinasi yang menjadi pilihan kami sebagai lokasi tambahan pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 6:20 AM