KAMARUDIN (kanan) mengumumkan tawaran tambang istimewa bagi penerbangan dari Jaipur ke Kuala Lumpur.
KAMARUDIN (kanan) mengumumkan tawaran tambang istimewa bagi penerbangan dari Jaipur ke Kuala Lumpur.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dari Jaipur dan India

HARGA semurah 7 sen bagi penerbangan satu hala dari Jaipur, India ke Kuala Lumpur. Itu tawaran luar biasa AirAsia X kepada orang ramai sempena pelancaran operasi penerbangan terus AirAsia X ke kota India itu yang bermula kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pihaknya menawarkan tambang istimewa itu sehingga 12 tengah malam ini.

Menurutnya tambang semurah India Rupee 1 itu (7 sen) itu adalah hadiah istimewa kepada orang ramai yang berminat untuk melancong ke Jaipur membabitkan tawaran 1,000 tempat duduk sahaja.

Beliau memaklumkan tawaran itu bagaimanapun hanya bagi penerbangan dari Jaipur ke Kuala Lumpur dan tempahan boleh dilakukan di laman web AirAsia dalam tempoh 24 jam. “Saya yakin perkhidmatan tambang murah jarak jauh ditawarkan AirAsia X ini bukan hanya mampu melonjakkan industri pelancongan kedua-dua negara malah mengembangkan peluang perniagaan berikutan Jaipur terkenal dengan penghasilan tekstil,barang kemas dan hasil kraftangan.

“Saya anggap ini satu cabaran (laluan baru AirAsia X ke Jaipur) namun saya yakin mampu bersaing dan mengekalkan momentum susulan kejayaan AirAsia X ke 19 destinasi antarabangsa sebelum ini, ” katanya ketika ditemui wartawan.

Beliau semalam turut mengumumkan tawaran promosi tambang untuk tempoh perjalanan antara 5 Februari 2018 sehingga 11 Februari 2018 ke Jaipur pada harga RM199 sehala atau India Rupee 3,555.

Penerbangan terus dari KLIA2 ke Jaipur dilakukan pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu. Laluan baru ini menyusul selepas kejayaan pelancaran laluan Bangkok-Jaipur pada September lalu yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang rendah jarak dekat bersekutunya, AirAsia Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 7:09 PM