ORANG ramai menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2018 di Muar. FOTO Adi Safri
ORANG ramai menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2018 di Muar. FOTO Adi Safri
Muhammad Saufi Hassan


GOLONGAN belia di negara ini perlu merebut semua peluang diberikan terutamanya dalam bidang ekonomi serta latihan disediakan oleh kerajaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, Bajet 2018 menyentuh semua isu golongan belia termasuk masalah pengangguran, sosial dan pendapatan.

“Saya lihat lapan petunjang utama bajet ini menyentuh semua isu berkaitan belia. Cuma, isunya sekarang adalah belia wajar merebut peluang ini.

“Isu yang sering membelenggu golongan belia adalah pengangguran dan kos sara hidup, bagaimanapun kerajaan sudah mengumumkan untuk mempertingkatkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sekali gus meningkatkan kemahiran anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut memberi fokus kepada meningkatan kemahiran golongan belia.

Mua’amar Ghadafi berkata, semua persiapan terhadap golongan belia sudah disediakan oleh kerajaan dalam mencapai negara maju kelak.

“Jika kita menyebut soal pendapatan dan kos sara hidup, ini adalah masalah utama yang dihadapi oleh mana-mana negara sekalipun yang ingin menuju kepada negara maju berpendapatan tinggi.

“Saya menyifatkan bajet kali ini paling komprehensif kerana menyentuh banyak aspek terutamanya latihan golongan belia.

“Segala program, skim latihan dan setiap kemudahan yang disediakan kerajaan wajar dimanfaatkan oleh belia,” katanya.

Menurutnya, golongan belia tidak boleh lagi menuding jari menyalahkan pihak lain jika mereka masih tidak mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 8:24 PM