Khairy (tengah)  bersama  graduan  pada Majlis Konvokesyen 1Belia 1Kemahiran ke-4 MBM-1B1K dan Majlis Pelancaran 1B1K-UMP Kompeten: TVET Berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) semalam.
Khairy (tengah) bersama graduan pada Majlis Konvokesyen 1Belia 1Kemahiran ke-4 MBM-1B1K dan Majlis Pelancaran 1B1K-UMP Kompeten: TVET Berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) semalam.

Putrajaya: Usaha kerajaan dalam memperluaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama ini berhasil apabila ia mampu mengubah persepsi masyarakat menjadikan bidang ini sebagai laluan kerjaya utama.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, melalui program Majlis Belia Malaysia 1Belia 1Kemahiran (MBM-1B1K) 4,976 belia di seluruh negara menamatkan pembelajaran mereka dalam bidang TVET sejak dilancarkan pada 2010.

“Program ini sebahagian daripada inisiatif mendekati dan membantu golongan belia yang memilih TVET sebagai laluan kerjaya dan mampu mengubah ribuan anak muda untuk berjaya dalam industri ini.

“Sebelum ini masyarakat hanya memandang serong terhadap TVET dan menganggapnya laluan kepada golongan belia tercicir termasuk mereka yang tidak menamatkan persekolahan di tingkatan lima, dibuang sekolah dan mereka yang berada dalam pemulihan juvana atau perlindungan akhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen 1Belia 1Kemahiran ke-4 MBM-1B1K dan Majlis Pelancaran 1B1K-UMP Kompeten:TVET Berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Ali, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Katanya, kini TVET bukan lagi pilihan kedua untuk mereka tidak cemerlang, tetapi produk TVET pekerja mahir dan menjadi aset terpenting yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Angka golongan belia dalam industri TVET dijangka bertambah dari tahun ke tahun dengan pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mentransformasi TVET bagi menekankan dan memperkukuh PSH seperti digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Kerajaan juga menggariskan beberapa lonjakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi 2015-2025 yang memberi penekanan dan melahirkan graduan TVET berkualiti tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:00 AM