Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama Fadillah Yusof (tiga dari kiri) dan Mohamad Hasan (dua dari kiri) tiba untuk majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama Fadillah Yusof (tiga dari kiri) dan Mohamad Hasan (dua dari kiri) tiba untuk majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
Amir Mamat


Alor Gajah: Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan Malaysia MADANI tidak pernah mengabaikan golongan belia dalam proses pembangunan negara ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, tumpuan yang diberikan itu bukan sahaja membabitkan golongan belia di bandar, tetapi menjangkau juga kawasan di desa dan pedalaman seluruh negara.

Malah, katanya, Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 turut menyediakan peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM393.8 bilion bagi menyediakan pelbagai inisiatif yang sudah dikhususkan termasuk untuk menangani isu yang dihadapi belia seperti pengangguran dan kos sara hidup tinggi.

"Apa yang lebih penting adalah peluang luas untuk direbut golongan belia yang bersemangat memajukan diri dan meningkatkan pendapatan menerusi latihan serta peluang pekerjaan lebih baik.

"Ini terutamanya ketika statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Mac dan suku pertama 2023 menganggarkan kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 11.2 peratus, membabitkan 317,300 penganggur belia.

"Jadi kalau tanya saya, umum tahu saya sedang memperkasa Pendidikan, Latihan dan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menggerakkan usaha memberikan lebih peluang pendidikan dan pekerjaan kepada belia seluruh negara," katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-44 di A' Famosa Resort di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Yang turut hadir, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata TVET perlu digerakkan bagi membolehkan golongan belia mengambil peluang untuk memperkasakan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang berkenaan.

Justeru, katanya, beliau mahu Gerakan Belia 4B menjadi sebahagian daripada penggerak agenda TVET itu.

"Gunakan platform mesyuarat agung ini untuk menggariskan teras dalam bersama saya dalam menelusuri dan memperkasa TVET dalam negara.

"Gerakan Belia 4B boleh menjadi aktivis bukan sahaja mempromosi agenda TVET, malah dapat menjadi penghubung antara kerajaan, Industri dan anak muda di seluruh negara.

"Justeru, besarlah harapan saya supaya pemimpin belia berperanan sebagai 'pelaku' aktif dalam proses membawa pembaharuan ini dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang kita impikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 4:26 PM